Buku ini
menceritakan mengenai penderitaan yang dialami oleh warga di Wilayah Selatan
Thailand iaitu “Patani, Narathiwat, Yala dan Songkhla”. Kekejaman dan
penindasan yang berlaku sampai ke kemuncaknya apabila berlakunya pembunuhan
beramai-ramai ketika Peristiwa Takbai dan Kerisik. Hari demi hari semakin ramai
warga Patani yang ditangkap dan ada juga yang hilang tanpa kesan sehinggalah
hari ini masih tidak dijumpai. Yang sangat menyedihkan bukan hanya orang awam
yang menjadi mangsa tetapi pelajar universiti, guru-guru dan juga imam masjid
turut ditangkap. Mereka semua ditangkap tanpa alasan, kalaupun ada alasan pihak
yang bertanggugjawab tidak mampu memberikan bukti atas kesalahan mereka.
Sering kali apabila berlakunya
penangkapan warga Patani jika kes dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan
akan memakan masa yang lama dan kos yang tinggi. Sesetengah pihak seolah-olah
sengaja berbuat demikian untuk menyusahkan rakyat di wilayah tersebut. Akhirnya,
sampai satu tahap ramai orang awam yang akan berputus asa daripada mendapatkan
keadilan daripada pihak mahkamah kerana kesulitan yang dihadapi terutamanya
kekangan dari segi kewangan. Penindasan demi penindasan yang berlaku memberikan
kesan yang sangat besar terutamanya kepada kaum keluarga mangsa. Bukan hanya
mangsa penangkapan yang menjadi mangsa dalam hal ini tetapi keluarganya turut
menjadi mangsa kerana isteri terpaksa bekerja keras untuk mencari nafkah menanggung
anak-anak bersendirian.
Tidak dinafikan peristiwa
penangkapan yang berlaku sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap emosi
anak-anak mangsa. Dalam buku ini, juga menceritakan sesetengah masyarakat
kadang kala turut menyalahkan keluarga mangsa atas suatu kesalahan yang belum
terbukti mereka lakukan kerana terpengaruh dengan berita yang disampaikan
melalui media massa. Hal ini, memberikan lagi tekanan kepada keluarga mangsa
dari segi emosi. Ada diantara anak-anak mangsa yang berhenti sekolah lantaran
tidak tahan dengan ejekan rakan-rakannya di sekolah.
Sememangnya penahanan orang awam dan warga Patani tanpa bukti yang kukuh tidak wajar dilakukan oleh pihak kerajaan kerana mereka juga punya hak sebagai warganegara dan hak mereka haruslah dihormati. Telah banyak kezaliman yang berlaku kepada warga Patani yang disembunyikan tidak kurang juga ada yang diputar belitkan oleh media massa. Sudah tiba masa masyarakat antarabangsa bertindak untuk membantu rakyat yang tertindas di wilayah Selatan Thailand ini untuk memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.
Direview oleh : UMMAHATUL HAMIMAH BT YATIM
IJAZAH SARJANA MUDA MATEMATIK DAN STATISTIK
SUKARELAWAN KEMBARA QURBAN@PATANI 2013
No comments:
Post a Comment