Saturday, 2 November 2013

Travelog aktivis KQP'13 "Di setiap persinggahan kita akan melihat manusia datang dan pergi dalam kehidupan kita"



13 Oktober 2013 (Ahad) | Hari Pertama

Gerabak Kehidupan

Hujun turun dengan sangat lebat pada pagi ini membangunkan saya daripada tidur. Selesai menunaikan solat Subuh saya terus bersiap untuk berangkat menuju ke Pejabat GPTD Pusat di Gombak. Daripada KTM Nilai menuju ke KL Sentral mengambil masa kira-kira sejam. Masa Yang agak panjang. Di setiap hentian saya melihat orang keluar dan masuk silih berganti, terdetik di hati beginilah kehidupan. Di setiap persinggahan kita akan melihat manusia datang dan pergi dalam kehidupan kita. Itu adalah putaran kehidupan yang sememangnya alami. Yang datang pasti akan pergi. Sampai di KL Sentral saya terus mendapatkan token untuk menaiki LRT menuju ke Taman Melati. Melihat kepada laluan yang harus dilalui untuk sampai ke Taman Melati agak jauh juga kerana ia merupakan stesyen kedua terakhir di platform ini. Sekali lagi perjalanan itu menimbulkan sesuatu dalam fikiran. Melihat manusia bersesak-sesak berusaha untuk mendapatkan tempat dalam LRT jelas memberi gambaran tentang reality kehidupan bahawa manusia itu kadang-kadang sanggup melakukan apa saja bahkan bertolak sesama sendiri untuk mencapai sesuatu. Banyak sekali iktibar yang harus kita pelajari tidak kurang banyaknya yang perlu kita perbaiki.
Induksi
Kami mula berkumpul di Pejabat Sekreteriat GPTD Pusat di Gombak pada hari ini untuk tujuan melaksanakan induksi akhir sebelum berangkat ke Patani. Antara slot yang dilaksanakan dalam induksi pada kali ini ialah mengenai bengkel travelog. Antara lainnya induksi ini dilaksanakan sebenarnya adalah untuk membina persefahaman antara sukarelawan sebelum pergi ke Patani untuk memastikan kelancaran perjalanan program di sana nanti. Dalam induksi ini sedikit sebanyak kami mula saling mengenali karakter antara satu sama yang lain. Harapannya kami dapat bekerjasama dengan lebih baik selepas ini.  

14 Oktober 2013 (Isnin) | Hari Kedua

Tazkira Berantai
Pada mala mini kami akan bertolak ke Pangkalan Kubor Kelantan. Sebelumnya hari kami dimulakan dengan pengisian seperti biasa “tazkirah berantai”. “Jika tidak mampu berlari maka berjalanlah, jika tidak mampu berjalan maka merangkaklah, jika tidak mampu maka lakukanlah semampumu” kata-kata ini antara kata-kata yang sangat memberikan kesan dalam tazkirah pada hari ini. Benarlah apa yang dikata, sebagai seorang muslim kita harus lakukan sesuatu di jalan dakwah kerana setiap kita punya peranan dan tanggungjawab sebagai daie’.  Selain itu, dalam tazkirah berantai hari ini juga diingatkan agar dalam kita menyusun angan-angan dunia kita jangan leka tentang hari akhirat yang menanti di hadapan kita. Sememangnya tazkirah itu satu peringatan yang sangat berguna terutamanya dalam mentajdid keimanan kita sebagai seorang muslim.

Penantian
Berkumandang saja azan Maghrib kami terus berbuka puasa dengan meminum air yang disediakan. Selepas itu kami menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak sebelum makan. Selesai makan kami terus berangkat ke terminal bas di Green Wood untuk menunggu bas Trans Nasional yang bakal kami naiki untuk ke Kelantan pada malam ini. Kami dihantar oleh saudara Huzaifah dan Fakhrul menuju ke stesyen bas. Tanpa diduga bas yang sepatutnya kami naiki tiba lewat. Kami sudah berada di stesyen bas sebelum pukul 9.00 malam kerana dijadualkan kami akan bertolak ke Kelantan pada pukul 9.00 malam. Malangnya bas yang ditunggu tiba sangat lewat. Sempat terdedik di hati adakah kami sudah terlepas bas yang sepatutnya kami naiki. Kami sempat berbincang sesama sendiri tentang perancangan sekiranya bas tersebut benar-benar tidak datang untuk mengambil kami. Setelah beberapa jam menunggu Alhamdulillah akhirnya bas yang ditunggu pun tiba. Walaupun lewat tetapi kami tetap bersyukur kerana bas itu tiba juga, jika tidak sudah pasti misi kembara Qurban ke Patani kami pada tahun ini terpaksa dibatalkan. Apa-apa pun saya sangat kagum dengan para sukarelawan yang sangat sabar menunggu, jika tidak sabar sudah pasti ada yang akan mengambil keputusan untuk pulang. Benarlah apa yang pernah dikatakan orang terdahulu, dalam penantian harus sabar kerana selalunya ada kejayaan di hadapan. Jika tidak sabar dan berputus asa pasti akan rugi kerana hakikatnya kejayaan itu sudah mula  menghampiri. Akhirnya kami selamat bertolak daripada Green Wood menuju ke Pankalan Kubor Kelantan kira-kira pukul 11.00 malam. Dengan ini maka bermulalah pemusafiran kami menuju ke Patani Darussalam.

15 Oktober 2013 (Selasa) | Hari Ketiga

Pangkalan Kubor
Kami selamat tiba di Pankalan Kubor Kelantan kira-kira pukul 6.20 pagi. Walaupun bertolak agak lewat semalam tetapi Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan untuk tiba di sini dengan awal. Sampai saja kami terus menunaikan solat Subuh. Sekitar pukul 7.00 pagi kami mula berjalan kaki menuju ke imigrsen Malaysia yang terletak tidak jauh daripada stesyen bas Pangkalan Kubor. Selesai urusan mengecop passport  kami bertolak masuk ke Takbai dengan menaiki bot. Tambang bot pada kali ini agak sedikit mahal dua kali ganda daripada sebelumnya kerana perkhidmatan bot yang selalunya menangkut penumpang hanya akan beroprasi selepas solat Aidil Adha. Disebabkan tidak mempunyai pilihan lain jadi kami bersetuju untuk menggunakan saja perkhidmatan bot yang disediakan kerana kami ingin bersama-sama dengan warga menunaikan solat Aidil Adha di Padang Maahad Nuraddin di Takbai.

Solat Hari Raya Aidil Adha
Ketibaan kami di Takbai disambut oleh Ustaz Nawawi. Beliau merupakan pengurus kepada Badan Kebajikan Anak Yatim Takbai (AYATA). Selesai urusan di imigresen Thailand kami terus menuju ke AYATA. Ketibaan kami di AYATA disambut dengan alunan takbir. Warga kampung sudah mula berpusu-pusu menuju ke padang untuk menunaikan solat Aidil Adha berjemaah. Kami mempersiapkan diri kemudian turut menuju ke padang Maahad Nuraddin untuk bersama-sama menunaikan solat. Selesai solat beberapa sukarelawan lelaki membantu kakitangan AYATA untuk menyembelih 2 ekor lembu untuk diagihkan kepada penduduk. Manakala sukarelawan perempuan pula membantu beberapa orang pelajar Perempuan di AYATA untuk memasak. Selepas Zohor majlis pengagihan daging korban dilakukan. Selesai majlis kami berkemas dan menuju ke penginapan untuk berehat. Malam ini kami bermalam di Takbai.
 
 16 Oktober 2013 (Rabu) | Hari Keempat

Seawal pukul 7.00 pagi waktu Thailand kami mula bergerak daripada AYATA menuju ke Nad Tanjung, Patani untuk menghadiri majlis Qurban di sana. Ketibaan kami disambut oleh Ustaz Usman. Selesai sarapan kami terus menuju ke lokasi Korban untuk membantu apa yang perlu. Selesai memotong daging kami membantu untuk mengagihkan daging kepada anak yatim di Nad Tanjung. Dalam majlis Qurban di Nad Tanjung kami sempat bertemu dengan dua orang pelajar Princess Of Narathiwat University (PNU) iaitu Bukhoree dan Abdul Hakeem.

Kampung Datuk
Pada petang hari selepas solat Zohor kami bertolak menuju Kg Datuk untuk berziarah. Kampung Datuk merupakan tempat di mana misi Jejak Patani 2013 yang lalu dilaksanakan. Di sana kami singgah ke rumah Cikgu Din mudir Tadika Kg Datuk. Selepas solat Asar kami kembali ke Nad Tanjung kerana kami akan bermalam di sana pada malam nanti.

Nad Tanjung
Selesai solat Maghrib dan Isyak kami makan malam ke rumah ipar kepada Tok Nebeh. Pulang sahaja dari rumah beliau kami dijamu dengan pelbagai jenis makanan laut yang disediakan di rumah Tok Nebeh. Kehadiran kami disambut dengan sangat baik oleh warga di sini. Layanan mereka jelas menunjukkan betapa warga di sini memiliki keperibadian yang sangat mulia. 

17 Oktober 2013 (Khamis) | Hari Kelima

Seawal 8.00 pagi kami mula bertolak daripada Kampung Nad Tanjung untuk menuju ke Masjid Kerisik, PSU, Masjid Besar Patani dan juga Masjid Raja. Kesemua tempat yang dilawati merupkan tempat bersejarah yang memiliki sejarah dan kisah tersendiri. Sebagai contoh masjid Kerisik merupakan masjid di mana pernah berlakunya pembunuhan beramai-ramai warga Patani yang hadir menunaikan solat di situ. Sebelum bertolak pulang semula ke Takbai kami singgah ke rumah CIkgu Din semula di Kg Datuk untuk memenuhi jemputan makan tengah hari di rumah beliau. Dalam perjalanan kembali ke Takbai kami singgah ke Masjid Teluk Manuk “Wadi Hussin”. Masjid tersebut merupakan antara masjid yang tertua di Nusantara. Usianya hampir sama dengan Surau Aur di Nad Tanjung dan juga Masjid kampung Laut di Kelantan. Istimewanya ketiga-tiga masjid ini memiliki seni bina yang hampir serupa. Masjid-masjid tersebut merupakan antara tinggalan daripada permulaan penyebaran Islam yang berlaku di Nusantara suatu masa dahulu. 
Berangkat Pulang



Tepat pukul 7.00 malam bas Perdana yang bakal dinaiki tiba di Pangkalan Kubor. 8 orang sukarelawan kembali ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas tersebut pada malam ini manakala 4 sukarelawan lain termasuk saya akan menetap sementara di Kelantan dan menaiki bas pada 20 Oktober nanti. Selesai bersalaman mereka pun menaiki bas dan berangkat pulang. Alhamdulillah misi kali ini berjalan dengan lancar. Semua sukarelawan selamat pergi dan kembali.  

Ummahatul Hamimah Bt Yatim
Bachelor Of Science Mathematics With Statistic

No comments:

Post a Comment