PENDAHULUAN
Kini Grup Pengkaji Tamadun Dunia atau dikenali sebagai GPTD bersama relawan Grup Jejak Patani (GJP) melaksanakan misi Kembara Qurban@Patani (KQP), 2013 anjuran Peace Global Mission, Malaysia (GPM) di Selatan Thailand iaitu di Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal (Ayata), Tak Bai dan Nad Tanjung. Seramai 12 orang turut serta dalam kembara ini yang terdiri daripada pelajar-pelajar Universiti Selangor, Bestari Jaya (Unisel, BJ) yang mempunyai kepelbagaian latar belakang. Mereka adalah Saudara Muhammad Harris Fadhilah bin Johari, “Harris” (wakil GPTD) merangkap Presiden GPTD, Saudari Tengku Farhanan binti Tengku Mohamed, “Kak Ana” (wakil GPTD) selaku Pengarah Kembara Qurban@Patani, 2013. Saudari Ummahatul Hamimah binti Yatim, “Ummah” (wakil GPTD), Saudari Hazirah binti Muhammad Rosli, “Zirah” (wakil GPTD), Saudari Siti Hajar Harnani binti Ishak, “Hajar” (wakil GPTD), Saudara Muhammad Amirul bin Sumar, “Amirul” (wakil GPTD), Saudara Mohamad Azhaari Shah bin Sulaiman, “Azhaari” (wakil GPTD), Saudari Azmah binti Aede, “Azma” (wakil GPTD), Saudari Nabila binti Hasanuddin, “Bella” (wakil GPTD), Saudari Lejawati binti Salam, “Leja” (wakil GPTD), Saudara Meor Izal Azril Hasni bin Mohd Arbee, “Meor” (relawan Unisel), dan Saudara Mohamad Solehuddin bin Sanuri, “Soleh” (relawan Unisel) masing-masing mempunyai inspirasi untuk dimanfaatkan bersama setelah pulang ke semenanjung nanti.
Secara peribadinya adalah saya katakan bahawa ini adalah pengalaman yang pertama bagi menjejaki kaki di bumi Thailand. Kerana sebelum ini, amat sukar untuk memperoleh peluang seperti ini. Kebarangkalian sibuk dengan tugasan sendiri atau mungkin sikap yang tidak ambil tahu tentang perkembangan program yang berada di Unisel, BJ. Menyebabkan saya terus terleka dengan perkara yang hanya tertumpu pada akademik semata.
Sekiranya tidak tersilap, pada suatu ketika sedang saya berada di dalam bilik kuliah selepas tamat pengajaran dan pembelajaran (P&P), saya menyapa rakan sekelas iaitu Zirah lalu saya bertanya kepadanya beraya di mana tahun ini. Kemudian, dia menjawab akan pergi ke Patani, Thailand dan beraya di sana untuk bersama dengan anak-anak yatim disana. Kemudian Zirah mempelawa saya untuk ke sana. Tetapi saya berkata kepadanya nanti saya akan memberitahu kelak akan jawapannya. Rentetan itu, Zirah memaklumkan kepada saya agar jangan lambat kerana sukarelawan hanya terhad kepada beberapa orang sahaja.
Tidak lama selepas itu, saya berfikir untuk membuat keputusan, lalu saya tergerak untuk bersama ke sana bagi melaksanakan tuntukan agama. Tidak lama setelah itu, ada beberapa perkara yang menguatkan lagi dorongan untuk ke sana antaranya, saya teringat akan kata-kata Encik Izwan Suhadak (En Su), selaku penasihat GPTD semasa sesi perjumpaan untuk pelaksanaan sebelum ke KQP di gerai makan bersebelahan bengkel motosikal kira-kira seawal jam 0900 pagi di Kg Bestari Jaya. Kira-kira beliau berkata:
“Seseorang yang bertaubat tidak semestinya menghabiskan masanya di atas sejadah sahaja tetapi ia juga perlu berbakti dan membuat amal kebajikan”.
Dalam erti kata lain, berkhidmat kepada masyarakat dengan memberi tanpa mengharapkan apa-apa yang berada ditangan manusia tetapi mengharapkan pembalasan yang sebenar dari Allah. Sekiranya kita mengimbau kembali sejarah orang yang terdahulu bahawa mereka merangkumi segala-galanya. Kerana kisah-kisah mereka memberi teladan dan pengajaran yang membuatkan inspirasi dan kecenderungan untuk terus melakukan kebaikan. Sebagai contoh kisah para aulia’, para sahabat, salafus soleh, ulama-ulama dan lain-lain. Mereka bukan sahaja mengkhususkan ibadah kepada Allah semata tetapi mereka memenuhi keperluan umat sejagat seperti menafkahkan harta, menaruh diri untuk berjihad di jalan Allah, mengorbankan masa untuk menuntut ilmu serta berusaha untuk menabur bakti melalui penyampaian ilmu dan pelbagai lagi.
Kerana penting untuk kita mengetahui kisah-kisah seperti itu dan penting juga mengeratkan silaturrahim, beramah mesra, berkasih sayang serta mengambil tahu tentang saudara-saudara semuslim. Sebabnya, bukanlah isu kita kenal atau tidak kenal tetapi isunya adalah sejauh mana kesedaran kita sebagai umat Islam yang ingin membantu saudara semuslim. Manakala firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya
orang-orang mu’min adalah bersaudara”(Surah Al-Hujurat 49:10)
SET INDUKSI
Set induksi yang berlangsung selama kira-kira dua hari bermulanya pada 13 Oktober 2013 (Ahad) sehingga 14 Oktober 2013 (Isnin) yang bersamaan dengan 08 Dzul Hijjah sehingga 09 Dzul hijjah 1434 Hijrah. Untuk pengetahuan umum, pada permulaannya sukarelawan GJP untuk ke KQP dimaklumkan adalah seramai 13 orang tetapi saat-saat akhir seorang dari sukarelawan telah pun menarik diri atas masalah yang tertentu. Walau bagaimanapun, tidak mengapa kerana keutamaannya adalah kualiti bukan hanya kuantiti.
Namun begitu, bukanlah menjadi suatu penghalang dan tidak
melunturkan semangat kami untuk meneruskan misi ke sana. Kerana pasti setiap
perkara yang terjadi ada kebaikan yang telah ditentukan oleh-Nya. Lantaran itu,
kami meneruskan pemergian kami pada hari yang telah ditetapkan tarikhnya untuk
ke Sekretariat GPTD Pusat di Gombak, Kuala Lumpur yakni pada hari Ahad pagi jam
0730 sudah bertolak dari Anjung Bestari, Kg Bestari Jaya.
Sewaktu berada di sana, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan untuk membuat persediaan semasa KQP di sana nanti. Set induksi yang dipimpin oleh Saudara Muhd Fakhrul Amiruddin (Fakhrul). Antara kepelbagaian aktiviti yang terlaksana adalah kami makan pada waktu yang sama, melakukan brain stroming, solat berjemaah, dan tadabbur Al-Quran. Tidak ketinggalan membaca mathurat setiap pagi dan petang, membuat liputan serta sempat mempelajari bahasa Kelantan yang diajar oleh Kak Ana. Selain itu, masa kami dimanfaatkan dengan pengisian rohani, maklumat dan pengetahuan dengan mengadakan tazkirah berantai atau diberi nama kultum. Setiap orang perlu berucap sekurang-kurang selama dua minit. Sehingga saya menyatakan bahawa inilah program yang pertama kali saya sertai dengan banyak perkongsian seperti ini. Semoga memperoleh ilmu yang bermanfaat.
Antara perkongsian yang diperkongsikan oleh sukarelawan semasa di set induksi berlangsung adalah kita perlulah tolong-menolong antara satu dengan yang lain kerana kita bergerak secara berpasukan. Selain itu, diperingatkan agar perlu menteluskan niat kerana bukan ke sana untuk melancong dan bergaya tetapi mempunyai misi yang perlu diselesaikan, diberitahu juga bahawa kita perlu mengetahui bahasa alam yang mana salah satu daripada teguran Allah agar kita memahami ia tarbiyah terus dari Allah.
Selain itu, kami diberitahu padA Isnin siangnya bahawa seorang dari pelajar Unisel telah meninggal dunia atas sebab kemalangan jalan raya sewaktu hendak pulang beraya dikampung. Pelajar tersebut bernama Ahmad Fadzli bin Ahmad Sazali atau dikenali dengan Ibnu Sazali (semoga bersama orang-orang yang dirahmati dan dicintai Allah) yang mengambil bidang ISM (kepujian) Psikologi Industri. Hendak memberitahu bahawa setiap waktu Allah sentiasa memperingatkan kita dengan kematian agar kita sentiasa bersedia sama ada kita perasan mahupun tidak ataupun mungkin kita tidak mahu mengambil tahu.
Sewaktu petang sebelum bertolak sempat kami mengenali Presiden GPTD Pusat iaitu En. Suhail Ahmad (Abg Suhail). Beliau berkongsi tentang pengalaman hidup kepada kami lantas beliau memperingatkan kami tentang ikhlas, orang yang bersyukur dan lain-lain. Beliau berkata dalam gerak berpasukan ini perlu mengamalkan tiga T (3T). 3T tersebut adalah Taat, tepati masa dan Tekun. Antara huraian yang beliau nyatakan adalah yang pertama mengenai taat sekiranya kembali kepada konsep solat berjemaah maka ma’mum harus mengikuti imam sehingga selesai solat. Begitu juga dengan ketaatan pengikut kepada pemimpin atau ketua di dalam sebuah pasukan selagi mana tidak menentang arus syariat agama.
Kedua, berkenaan dengan tepati masa kerana amatlah penting bagi sesebuah pasukan untuk menepati masa yang telah ditetapkan. Kerana setiap program ada waktunya tetapi sekiranya tidak punctual maka waktu yang dijangkakan akan mengambil waktu yang lain dan menyebabkan terlewat dan sebagainya. Umat islam harus sentiasa berpegang kepada janji kerana adalah salah satu ciri munafiq sekiranya ia memungkiri janji. Kita sering dengar perkataan ‘janji Melayu’ dan seumpamanya sebenarnya ia adalah daripada sikap orang itu sendiri yang lambat atau sebagainya dan tidak berkaitan dengan bangsa, warna kulit dan sebagainya. Kata Abg Suhail:
“ Islam itu sempurna tetapi imej Islam itu ditonjolkan melalui orang Islam.”
Sama ada kita menampakkanya dengan imej yang baik atau sebaliknya. Ketiga pula, mengenai tekun yang mana Islam juga menganjurkan agar kita bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan.
PENANTIAN DI PERHENTIAN BAS
Kami ke perhentian bas Taman Greenwood, Gombak sebelum waktu naik yang dinyatakan di dalam tiket iaitu jam 0930 malam. Di sana kami menjangkakan bahawa tepat pada jam 0930 malam bas untuk ke Pangkalan Kubur, Kelantan akan tiba pada waktunya di tempat perhentian bas. Namun jangkaan kami meleset sama sekali kerana bas yang ditunggu tidak jua kunjung tiba setelah waktunya. Pada ketika itu fikiran mula memikirkan tentang pelbagai persoalan. “Adakah salah waktu”, “Adakah salah tempat” lantaran itu, mula mengajukan soalan kepada sukarelawan yang lain untuk mendapatkan kepastian. Alhamdulillah, semuanya tidak tersilap. Kami menunggu hampir tiga (3) jam namun sesudah itu ada penumpang yang juga ingin ke utara mengatakan pernah suatu ketika bas tersebut lagi lewat. Teringat bahawa Allah ingin menguji keimanan hamba-hambanya yang ingin melakukan kebaikan.
Firman Allah yang bermaksud :
"Dan sesungguhnya, kami benar-benar akan menguji kamu sehingga kami mengetahui orang yang benar-benar berjihad dan yang bersabar di antara kamu; dan akan kami uji perihal kamu." (surah Muhammad 47 : 31)
Ujian akan berlaku di mana-mana kerana setiap perkara yang berlaku adalah ujian di samping sekiranya seseorang itu telah beriman pasti ia akan diuji. Firman Allah ada menyatakan di dalam Surah Al-Ankabut pada ayat ke-2 yang bermaksud:
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”
Ujian yang mendatang adalah kerana tanda sayangnya Allah kepada hamba-Nya yang beriman. Sekira-kira jam 1115 malam kami menaiki bas untuk ke Pangkalan Kubor dengan semangat Patani. Maka bermulalah permusafiran kami pada ketika itu.
SOLAT SUNAT
HARI RAYA AIDILADHA DAN QURBAN
Sudah menjadi kebiasaan di semenanjung Malaysia sama ada di bahagian Selatan khususnya bila mana tiba waktu menunaikan solat sunat Aidilfitri mahupun Aidiladha, maka orang ramai akan berbondong-bondong ke masjid bagi menunaikan solat sunat tersebut. Tetapi berlainan pula situasi di sempadan. Kerana pada hari pertama kami di sana ingin menunaikan solat sunat hari raya Aidiladha kami mendapati bahawa orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke padang sepak bola Maahad Nuruddin untuk menunaikan solat disana. Kedengaran takbir berkumandang di sekitarnya. Kami berada di tempat Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal (Ayata) tempat persinggahan pada waktu itu. Setelah bersiap sedia untuk menunaikan solat sunat Aidiladha, pada jam kira-kira 0715 pagi kami menuju ke padang sepak bola Maahad Nuruddin kerana diberitahu oleh Ustaz Nawawi waktu solat sunat jam 0730 pagi waktu Thailand. Ramai orang berbondong-bondong dengan menaiki motosikal, berjalan kaki, berbasikal dan sebagainya menuju ke padang sepak bola Maahad Nuruddin dengan berpakaian jubah, berserban, berpurdah dan sebagainya bagi melaksanakan syariat Islam.
Lalu hati saya berbisik, “MashaAllah, alangkah
indahnya”. Keadaan seperti itu digalakkan bagi menonjolkan dan menyerlahkan
syiar Islam dan antara kelebihannya adalah agar orang yang bukan Islam melihat
akan keharmonian dan keindahan serta kekuatan umat Islam.
Kemudian semasa waktu untuk penyembelihan binatang qurban
iaitu lembu. Lembu yang ditumbangkan dengan mudah dan cara ikatan juga berbeza dengan
semenanjung. Seperti keadaan di semenanjung kaki binatang yang hendak
diqurbankan seperti Unta, Lembu, Kambing misalnya akan diikat keempat-empat
kakinya lalu disembelih. Sedangkan di sempadan dan Kg Nad Tanjung lembu
tersebut hanya diikat pada sebelah kaki belakangnya sahaja dengan lehernya
masih lagi terikat pada tali ikatan setelah tumbang lembu tersebut.
No comments:
Post a Comment