Saturday, 2 November 2013

Travelog Aktivis KQP'13 = "Hilang Perasaan Takut, Melihat Ketabahan Masyarakat Patani Menjalani Kehidupan Seharian"

STESEN BAS GREEWOOD, GOMBAK ( 14/10/2013 )

Isnin bersamaan dengan 14 oktober 2013, seramai 12 orang sukarelawan telah menyertai pengembaraan korban ke Patani. Bas kami dijangka tiba pada jam 9.00 malam di Greewood, Gombak ke Pangkalan Kubur, Kelantan.  Kami telah ditemani oleh dua orang sahabat kami iaitu Abang Huzaifah dan Abang Fakhrul.  Selama 2 jam kami menunggu ketibaan bas untuk kami naiki dengan perasaan kecewa dan hampa kerana perkhidmatannya yang kurang memuaskan. Pada jam  11.10 malam, bas kami telah tiba dan terdapat sedikit kekeliruan bahawa bas kami sedang naiki bukan bas kami. Maka ketika itu, kami telah mengikut arahan pengarah program iaitu Tengku Farhanan untuk tetap menaiki bas tersebut kerana masa kami terhad.

DI AYATA ( 15/10/2013 )

Kami telah tiba di pangkalan kubur pada jam 6.30 pagi. Kami bergegas ke surau yang berdekatan untuk menunaikan solat subuh. Kemudian kami telah menaiki bot yang berharga RM 3.00 seorang menuju ke Takbai dan telah dijemput oleh UStaz Nawawi. Selesai sahaja pengesahan pasport di imigrasion Takbai, kami telah dibawa ke asrama Ayata iaitu asrama anak-anak yatim di situ. Perjalanan kami mengambil masa selama 15 minit untuk sampai ke destinasi tersebut.  Sampai sahaja, kami telah diminta untuk menyiapkan diri dan bersarapan dahulu sebelum menunaikan solat sunat hari raya pada jam 7.00 pagi di padang sekolah.

Kami berjalan kaki menuju ke sekolah tersebut yang mengambil masa selama 15 minit. Suasana hari raya aidiladha di Takbai jauh berbeza dengan suasana di Malaysia. Di sana keadaanya agak meriah  dan masyarakat yang bergembira apabila mereka dapat berjumpa dengan sanak saudara untuk memohon maaf di hari bahagia dan bertanyakan  khabar. Ini kali pertama aku dapat bersolat di atas padang tanpa bertutupkan bumbung dan berlantaikan simen. Seusai sahaja solat sunat hari raya, aku terkesima melihat penduduk kampung menziarah kubur ahli keluarga yang telah syahid ketika peristiwa Demonstrasi Takbai dimana peristiwa tersebut telah menyebabkan tidak kurang dari 78 orang yang telah mati kesesakkan nafas akibat ditindih di dalam truck. Hal tersebut menyebabkan ramai anak-anak menjadi yatim dan isteri-isteri menjadi janda.

Pada jam 11.00 pagi, aktiviti mengorbankan seekor lembu mula. Lembu tersebut disumbangkan oleh seorang saudara dari GPM bersama isterinya. Pada kebiasaannya, aku terlalu takut untuk melihat binatang disembelih tapi apabila aku berada di sini perasaan takut sudah tiada. Memang betul cakap kawan-kawan yang sudah menjejak kaki ke tanah Patani bahawa perasaan takut akan hilang melihat ketabahan mereka menjalani kehidupan walaupun mereka ditawan. Tambahan pula, mereka yang sangat peramah dengan kami.


Selain itu, Ustaz Nawawi juga telah memberitahu kepada kami bahawa aktiviti mengorbankan lembu tidak semua yang turut serta. Di sana mereka akan mengorbankan binatang secara persendirian. Seusai sahaja mengorbankan lembu, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan rewang untuk memasak dan membahagikan daging untuk diberikan kepada anak yatim. Pada jam 2.24 petang, jawatankuasa AYATA telah mengagihkan daging dan duit raya kepada anak-anak yatim. Terdapat beberapa NGO lain turut terlibat antaranya ialah HAIRAT TURKI. Selesai sahaja pengagihan daging, kami telah ditunjukkan tempat untuk berehat.

DI KAMPUNG NAD TANJUNG ( 16/10/2013 )

Pada jam 7.10 pagi, kami telah bertolak untuk menuju ke Kampung Nad Tanjung mengikut di dalam perancangan yang telah disediakan. Di sepanjang perjalanan aku dapat melihat beberapa pagar sekatan yang telah dibuat oleh tentera siam tetapi pada waktu itu tidak banyak tentera siam yang ada. Aku telah diberitahu oleh penduduk kampung Takbai bahawa tentera siam tidak banyak yang membuat sekatan  apabila tiba waktu perayaan. Perjalanan kami mengambil masa selama 1 jam setengah.

Kami telah disambut oleh anak-anak yatim Nad Tanjung dan Ustaz Osman. Ustaz Osman telah menunjukkan Masjid Aur yang sangat terkenal dengan masjid yang tidak menggunakan paku. Tambahan pula, kami telah diberitahu bahawa terdapat 4 masjid yang sama usia dengan masjid tersebut. Sambil menunggu aktiviti korban dijalankan, kami sempat bertemu ramah dengan beberapa orang mak cik. Pada ketika itu, aku mempunyai sedikit masalah komunikasi dengan seorang kakak bernama Hani yang sudah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak. Kak Hani tidak dapat memahami bahasa melayu dan dia hanya memahami bahasa siam dan Kelantan. Maka aku hanya kecek beberapa patah perkataan yang aku sempat belajar sebelum memulakan pengembaraan korban. Tapi perbualan kami tidak panjang kerana dia perlu menguruskan anak-anaknya di rumah.

Kemudian kami telah diberi sedikit makanan untuk dijamah antaranya ketupat palas, serunding dan sebagainya. Ketika makan ketupat palas, aku telah disapa oleh seorang mak cik yang dikenali sebagai mama. Dia telah berkata kepadaku “ Kamu berahi? ”. Aku terkesima sekejap dan bertanyakan kepada kawanku apa maksudnya itu. Maka kawanku kata “ Hang suka ketupat palas ke? ”. Jadi aku berkata memang aku suka sangat makan ketupat palas. Tanpa aku sedari, dia telah menyuruh anak buahnya mengambil ketupat palas dirumah. Aku sangkakan sedikit sahaja ketupatnya,  tetapi diluar jangkaan mereka telah memberi aku sebakul ketupat palas beserta dengat lepat pisang. Kawan-kawan ku hanya mampu senyum. Tidak sangka sejauh itu mereka melayan kami dengan baik walaupun mereka hidup dengan haru-biru. 

Pada jam 10.00 pagi, kami telah ke tempat tapak pembinaan sekolah tadika dimana 3 ekor lembu akan disembelihkan oleh penduduk kampung. Lembu-lembu tersebut disumbangkan oleh Hairat Turki iaitu NGO dari Turki. Suasanya yang agak meriah kerana boleh dikatakan semua penduduk kampung telah turut serta. Kami juga sempat berjumpa dengan 2 orang mahasiswa PNU iaitu Abdul Hakim dan sahabatnya dimana mereka telah menyambut raya haji di Nad Tanjung. Selesai sahaja melapah dan membungkus daging, daging tersebut telah diagihkan kepada anak-anak yatim dan penduduk kampung. Aku juga sempat berkenalan dengan isteri Ustaz Osman iaitu Kak Zahidah. Aku ada bertanyakan keadaan kampung jikalau ada berlaku sebarang kejadian. Dia menyatakan setakat ini tiada sebarang kejadian berlaku tetapi kes penagihan dadah dikalangan anak-anak muda semakin merisaukan.

Kemudian, aku pergi ke penduduk kampung yang sedang menyediakan nasi minyak untuk dimakan bersama-sama dengan daging dimana aku boleh mambantu mereka melakukan kerja. Aku sangat terkejut melihat seorang pak cik meletakkan 4 genggam garam ke dalam masakkan tersebut. Aku bertanya kepadanya bahawa nasi tersebut tidak masin diletakkan banyak garam. Maka pak cik tersebut menyatakan bahawa garam yang diletakkan tidak mencukupi lagi dan perlu ditambah lagi. Beberapa jam kemudian, azan zohor telah berkumandang pada jam 12.00 tengah hari, kami bersiap-siap mengambil wuduk untuk menunaikan solat zohor berjemaah dengan penduduk kampung.

Pada jam 2.00 petang, kami bersama-sama penduduk kampung telah menjamah makanan tengah hari. Selesai sahaja makan dan mengemas tempat kami makan, kami telah bersiap-siap untuk menuju ke Kampung Datuk. Kampung Datuk tidaklah terlalu jauh dan mengambil masa selama setengah jam untuk sampai. Di sana, kami telah menziarahi seorang guru sekolah yang dikenali sebagai Cikgu Ding. Cikgu Ding juga merupakan seorang pengusaha keropok ikan bersama-sama dengan ahli keluarganya.
Kami pulang pada jam 6.00 petang selepas menunggu hujan berhenti. Selepas itu, kami telah dibawa ke rumah ketua kampung Nad Tanjung yang bernama Tok Nebe. Di mana, di rumah beliaulah kami relawan perempuan akan beristirehat manakala relawan lelaki akan berehat di masjid yang berdekatan. Kami telah diberitahu pada waktu malam akan dibuat sedikit jamuan makan. Seusai sahaja solat maghrib, aku sempat membuat profiling penduduk kampung di mana kami pernah singgah. Tidak lama kemudia relawan lelaki telah datang ke rumah Tok Nebe. Aku bertanya kepada mereka mengapa mereka datang terlalu awal? Mereka menyatakan bahawa Tok Nebe akan membawa kami menjamu selera di rumah adik iparnya di kampung sebelah. Aku terkejut mendengarnya kerana satu hari, kami dijamu dengan makanan. Kami telah tiba dirumah adik ipar Tok Nebe pada jam 8.30 malam. Ahli keluarga mereka sangat besar dan terlalu ramah.
Kami pulang dari rumah adik ipar Tok Nebe pada jam 10.00 malam. Sampai sahaja, kami telah diajak oleh Tok Nebe untuk makan makanan seafood. Aku terdiam dan melihat kawan-kawanku. Kawan-kawan ku tersenyum lalu pergi untuk tidak menyakiti hatinya. Kami juga sempat berkenalan dengan dua orang gadis, seorang berasal dari Kelantan dan belajar di Mesir manakala saudaranya tinggal di kampung tersebut. Aku terkejut melihat udang bakarnya yang agak besar dan berisi. Kami semua terlalu mengantuk dan mintak diri dari penduduk kampung dan ahli keluarga Tok Nebe untuk beristirehat.

DI PATANI ( 17/10/2013 )
Seusai sahaja solat subuh, kami bersama-sama membaca al-mathurat kemudian kami bersarapan bersama isteri Tok Nebe. Kami bercadang untuk keluar awal pagi supaya kami sempat untuk menziarahi dan melihat tempat-tempat peristiwa yang pernah dilakukan oleh tentera siam. Sebelum pulang, kami sempat bergambar dan bertukar-tukar no telefon untuk memudahkan berkomunikasi.

Tempat pertama kami ziarah ialah Masjid Kerisik. Masjid Kerisik terletak di Patani. Sejarah masjid ini ialah tentera siam telah membunuh sekumpulan jemaah yang ketika itu sedang menunaikan solat dengan menggunakan senjata. Mereka mengatakan bahawa di dalam masjid tersebut mempunyai pejuang pemisah yang ingin menuntut keadilan. Sampai sekarang, kesan petembakan di dinding masjid boleh dilihat. Masyarakat Patani mengatakan lagi bahawa masjid ini tidak diturap kerana ditegah oleh penjajah. Hal tersebut kerana, penjajah telah menyelewengkan sejarah yang sebenar iaitu kononnya masjid itu ada kaitan tahyul dengan tokong yang berdekatan.
Selepas itu, kami telah bergerak menuju ke Princes Of  Songkla  Universiti (PSU). Keadaan disitu agak senyap dimana pelajar-pelajar telah pulang ke kampung halaman sempena cuti perayaan. Disana kami telah disambut oleh seorang sahabat bernama Syakirah salah seorang relawan kami dimana dia juga belajar disitu. Kami telah dibawa masuk untuk melawat kawasan persekitaran. Kami juga sempat melihat sebahagian pelajar baru mendaftar masuk ke PSU untuk mengambung pelajaran mereka ke peringkat paling tinggi.
Kemudian kami meneruskan perjalanan kami ke Masjid Jamek yang teletak di Bandar Patani. Seni bina Masjid Jamek mempunyai sedikit unsur India. Peristiwa yang telah berlaku di Masjid Jamek ialah Imam masjid tersebut telah dibunuh oleh tentera siam seminggu selepas berpuasa pada tahun ini tanpa diketahui sebabnya. Kami tidak dapat memasuki ruang solat masjid tersebut kerana pintunya telah dikunci.
Selepas itu, kami ke Masjid Di-Raja Al-Fatoni ( Masjid Raja Patani ) yang terletak di jauh dari masjid Jamek. Masjid tersebut dibina pada zaman Tengku Besar atau Sultan Muhammad iaitu raja pertama Patani pada tahun 1845-1856. Baginda juga merupakan salah seorang putera Sultan Negeri Kelantan pada masa itu. Masjid Di-Raja Al-Fatoni juga mempunyai sebuah telaga yang sangat dalam yang pada ketika dahulu digunakan untuk mengambil air wuduk. Tambahan pula, masjid tersebut juga masih terdapat mimbar Di-raja yang sangat lama usianya dan mempunyai hiasa yang sangat unik.
Seterusnya, kami ke Kampung Teluk Manok yang kini berada di dalam wilayah Narathiwat. Kampung tersebut juga terkenal dengan seorang tokoh terkemuka iaitu Wan Husain Sanawi. Di sana, kami telah melawat Masjid Wadi Al-Husain iaitu masjid yang tertua. Pengasas masjid tersebut ialah Wan Husain Sanawi itu sendiri. Seni bina masjid tersebut yang mempunyai corak-corak kemelayuan. Di sebelah masjid tersebut terdapat kubur para syuhadak yang telah meninggal dunia di dalam tragedi Takbai. Dimana peristiwa tersebut berlaku pada bulan April 2004 iaitu semua tahanan dimuatkan kedalam trak dan diletakkan secara bertindih-tindih sebelum dipindahkan ke sebuah kem serta mengambil masa perjalanan yang sangat lama untuk sampai di dalam bulan Ramadhan. Seramai 78 orang telah syahid dan dikebumikan satu liang lahad. Terakhir destinasi kami ialah ke Kampung Datuk semula. Hal tesebut kerana kami telah berjanji dengan Cikgu Ding untuk makan tengah hari bersama sebelum kami pulang ke Malaysia. Kami juga sempat solat jamak takdim di Masjid Kampung Datuk sebelum kami pulang.

Pada jam 3.30 petang (waktu Thailand) kami telah tiba di imigresen Thailand untuk cop keluar passport kami. Kami telah berjalan selama 15 minit untuk sampai pangkalan feri untuk sampai ke Pangkalan Kubur. Harga tiket feri untuk seorang ialah RM 1.00. Akhirnya kami telah tiba di Pangkalan Kubur pada jam 5.35 petang dan memasuki imigresen Kelantan untuk pemeriksaan. sebelum menunggu ketibaan bas, kami telah membuat post mortem sebelum kami pulang untuk berkongsi dengan kawan-kawan yang lain. Kami dibahagi kepada 2 kumpulan iaitu 8 orang sukarelawan akan pulang dahulu manakala aku dan 3 orang kawanku akan pulang ke rumah penyelaras program iiatu Tengku Farhanan untuk kajian yang selanjutnya. Bas mereka tiba pada jam 8.30 malam.

DI KELANTAN ( 18/10/2013 )

Pada hari Jumaat bersamaan 18 Oktober 2013, kami telah keluar bersama-sama ibu bapa Kak Ana untuk bersarapan. Selepas bersarapan, kami ke pasar Jumaat untuk mencari sedikit cenderahati yang tidak sempat kami beli di Patani untuk dibawa pulang. Harga di pasar tersebut jauh bezanya harga di pasar yang kebiasaan aku pergi kerana harga-harga tersebut sangat berpatutan dan murah. Pada jam 2.00 petang, ayah Kak Ana telah mengajak kami ke Madrasah Muhamadiyah di mana tempat pak cik mengaji untuk mengisi masa lapang. Pak cik memberitahu bahawa madrasah tersebut telah membuat sedikit jamuan untuk mengutip sumbangan membuat asrama bagi pelajar perempuan dan warga tua. Selepas itu, kami ke Bellion menemani mak cik membeli sedikit buah-buahan.

DI MASJID – MASJID ( 19/10/2013)


Pada 19 Oktober 2013, kami telah bercadang untuk berjumpa dengan Che We dan menziarahi masjid-masjid yang terkenal di Kelantan serta yang ada kaitan dengan sejarah Patani. Pada jam 7.00 pagi, kami telah bertolak untuk berjumpa dengan Che We iaitu wakil dari GPM dan dia juga yang telah membimbing sepanjang perjalanan kami di Patani. Kami telah berbincang disebuah kedai makan mengenai projek Jejak Patani yang akan datang. Sambil berbincang, Che We juga telah bercerita sedikit mengenai hala tujunya selepas itu. Kemungkinan selepas ini, Jejak Patani akan ke Yala dimana kami akan berjumpa sendiri keluarga mangsa-mangsa kekejaman tentera siam serta dapat menziarahi kawasan-kawasan tragedi.
Selepas itu, kami ke Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri, Kelantan. Masjid ini juga dipercayai sebagai masjid yang tertua di Asia Tenggara. Tapak asal masjid ini ialah di Kampung Laut, Tumpat kemudian dipindahkan ke Pusat Pengajian Islam, Nilam Puri. Masjid tersebut juga telah dibina tanpa menggunakan sebarang paku pada sekitar kurun ke – 18 dan mempunyai persamaaan bumbung perabung lima dengan Masjid Demak di Jawa, Masjid Kuno di Champa, Masjid Nad Tanjung dan Masjid Wadi Hussein di Thailand.
Selesai sahaja kami melawat Masjid Kampung Laut, kami ke Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang dan dikenali sebagai Masjid China. Seni binanya merupai seni bina masjid di Negara China. Masjid tersebut boleh memuatkan 1000 jemaah dalam satu masa.
Kemudian kami ke pecan Rantau Panjang yang berdekatan dengan Sungai Golok. Di sana kami sempat membeli sedikit cenderahati dan makanan kerana harga di sana harga borong dan ia bebas cukai. Seusai sahaja membeli, kami ke Masjid China semula untuk menunaikan solat Zohor. Pada ketika itu, ramai pelancong dari dalam dan luar negara singgah untuk menunaikan solat.
Terakhir, kami singgah di pejabat Abim untuk membincangkan sedikit program bersama. Tetapi hampa kerana pejabat Abim tidak buka. Lalu kami ambik keputusan untuk pulang ke rumah kerana sudah lewat hari.

DI KRAF TANGAN ( 20/10/2013)
Hari terakhir kami di Kelantan, kami bercadang sebelum pulang, kami mahu membeli cenderahati untuk penaja-penaja yang telah menaja kami ke Patani. Di sana, terlalu banyak jenis cenderahati yang boleh didapati dalam apa jua bentuk. Kami rambang mata untuk memilih tetapi kami saling ingat meningati untuk tidak terlalu mengikut nafsu. Selesai membeli kami berjalan-jalan melihat bandar Kelantan yang sangat sibuk ketika itu kerana pada masa itu waktu masyarakat pulang dari tempat kerja. Lewat petang kami pulang menaiki teksi yang berharga RM 15.00. Bas kami dijangka akan sampai pada jam 9.30 malam di stesen bas Tesco.

PUTRA ( 21/10/2013 )
Kami telah tiba di stesen bas Putra pada jam 6.00 pagi. Kami singgah ke surau yang berdekatan untuk menunaikan solat subuh. Seusai sahaja solat subuh kami menyambung perjalanan kami ke stesen KTM. Pada ketika itu, hanya Allah sahaja tahu keberatan bag aku bawa dengan perjalanannya yang agak jauh dari stesen bas tersebut. Alhamdulillah, akhirnya kami tiba dengan selamat di stesen KTM Sungai Buloh.

 Siti Hajar Harnani Bt Ishak
 Diploma Pendidikan ( Pengajian Islam )


No comments:

Post a Comment