Apabila
mendengar sahaja nama Selatan Thai, tentulah orang di Malaysia ini akan
teringat tentang ketidakstabilan dan keganasan. Kawasan Selatan Thai seperti
Yala dan Pattani yang dahulunya menjadi tumpuan pelancong Malaysia kini tidak
lagi diletakkan di dalam kalendar tempat yang perlu dilawat. Hanya tempat
seperti Hatyai dan Phuket yang masih lagi menjadi tumpuan. Persepsi ini
menyebabkan peluang perniagaan semakin sukar menyebabkan banyak rakyat Muslim
di Selatan Thai bekerja di negara jiran seperti Malaysia. Malah letupan bom
yang berlaku baru-baru ini berdekatan sebuah hotel hanya menyebabkan pelancong
menjauhkan diri.
Adalah
tidak adil untuk melihat Selatan Thai sebuah tempat konflik yang kronik seperti
Syria. Hakikatnya kehidupan sehari-hari penduduk adalah sangat aman. Walaupun
berlaku sekatan tentera di setiap jalan namun jarang sekali mereka berfungsi
kerana tujuannya hanya sebagai kawalan. Jarang mereka memeriksa lalu lintas.
Mereka seperti rakyat Thailand yang lain juga menuntut untuk diberi layanan
yang adil oleh kerajaan. Mereka juga mahukan kekayaan Thailand itu sampai ke
Selatan supaya boleh dinikmati bersama. Peluang ekonomi dan pendidikan juga
perlu diratakan tanpa mengira kaum dan agama.
Inilah
penyelesaian yang terbaik kepada konflik di selatan Thai. Bukan menambah lebih
banyak tentera atau melakukan penahanan tanpa bicara dan prejudis terhadap
mana-mana orang Islam yang berkelulusan agama. Kehadiran tentera hanya
menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap layanan ‘double standard’
kerajaan. Tentera hadir kerana perintah darurat, oleh itu perlulah perintah
darurat itu ditarik balik supaya pemerintahan awam dapat dikembalikan di
Selatan Thai.
Namun
begitu, sering kali hasrat rakyat dikhianati kerana keadaan politik di Bangkok
kurang stabil. Akhirnya Selatan dilupakan dan dibiarkan kerana konflik politik
Thailand yang tidak sudah-sudah. Sepatutnya negara Islam seperti Malaysia perlu
lebih proaktif dalam membantu saudara seislam. Gagasan Kesederhanaan Global
anjuran Perdana Menteri Najib Razak perlu dirasakan dahulu di negara jiran
sebelum disebarkan sekuruh dunia. Malaysia perlu keluar dari polisi berdiam diri
apabila melibatkan negara-negara ASEAN kerana kita dilihat sebagai masyarakat
contoh oleh rakyat negara lain. Kejayaan kita dalam melahirkan masyarakat
majmuk perlu menjadi model kepada negara seperti Thailand yang mempunyai
masalah apabila melibatkan keharmonian antara kaum dan agaman.
Kita
sebagai umat Islam di Malaysia juga perlu berusaha dengan lebih keras lagi
dalam memastikan keamanan di Selatan Thai tercapai. Berdosalah kita sekiranya
sibuk membantu rakan di Timur Tengah namun terlupa memastikan jiran tetangga
juga mendapat hak kehidupan yang lebih baik. Berdoalah semoga umat Islam di
Selatan Thai juga berjaya mencapai keharmonian. Mungkin suatu hari nanti kita
pula yang akan mencari rezeki di sana!
MOHAMMAD SYAZWANNUDDIN SHAHARUDDIN
Naib Presiden PKPIM
Sesi 2013/2014
Naib Presiden PKPIM
Sesi 2013/2014